7 Amalan Yang Digalakkan Dalam Bulan Ramadhan

Bookmark and Share



7 Amalan Yang Digalakkan Dalam Bulan Ramadhan


Assalamualaikum warohmatullah kepada semua membaca. Terima kasih saya ucapkan kerana sudi baca blog kecil saya ini.

Baiklah, pada artikel ini saya ingin memberi serba sedikit tips untuk amalan di bulan Ramadhan ini.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia di mana kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan kebaikan kita. Berbanding bulan biasa, masa kita lebih banyak terluang di bulan Ramadhan. Jadi, apa yang boleh kita lakukan dengan waktu terluang ini?

1. Membaca 1 juzuk al-Quran(minima) Sehari

Untuk menghabis 1 juzuk al-Quran sebanyak 20 muka surat, memerlukan maksimum 1 jam luangan masa, bergantung kepada kefasihan anda membaca al-Quran.

Kita solat fardhu sebanyak 5 kali sehari. Maka, setiap kali lepas solat saya sarankan anda membaca 4 muka surat al-Quran.

Pada hari pertama puasa setelah subuh, mulakan baca 4 muka surat. Begitu juga seterusnya pada solat yang berikutnya. Maka menghasilkan sebanyak 20 muka surat setelah Isyak.

Pada hari pertama anda telah menghabiskan 1 juzuk.

Info : 1 hari 1 juzuk, 30 hari 30 juzuk. Khatam!

Frequently Asked Question(FAQ):

Q : Saya lepas solat, selalunya ada kerja. Bagaimana ya untuk meluangkan masa?
A : Kita biasa bekerja pada siang hari. Maka saya sarankan setelah subuh, baca 4 muka surat. Selepas zuhur, baca 2 sahaja, begitu juga setelah asar. Sekarang tinggal 12 muka surat. Anda boleh membahagikan 6 setelah Maghrib dan baki 6  setelah Isyak. Jika terlampau sibuk sekalipun, cuba ‘Qadha’ kan bacaan al-Quran. Bermaksud, anda luangkan masa Isyak anda membaca selebihnya muka surat al-Quran.

Pada hari pertama, memang kita akan rasa tidak bersemangat. Setelah tamat baca, tandakan dengan tali yang biasa keluar daripada al-Quran itu(Tali penanda). Kemudian, anda lihat al-Quran anda daripada bawahnya(di mana tali penanda itu terkeluar). Anda pasti kagum, hari pertama anda sudah baca 20 muka surat!

“Wah, alhamdulillah! Hari ini sudah sebanyak ini aku baca!”

Maka lafazlah syukur kepada Allah s.w.t.


2. Memperbanyakkan Sedekah

Pada bulan Ramadhan, saya menggalakkan anda bersedekah. Tujuan kita berpuasa  adalah untuk sama-sama merasa kesusahan orang miskin yang tidak makan sepanjang hari.

Maka berilah sedekah kepada orang miskin. Seperti mana anda tidak sabar untuk berbuka puasa, begitu jugalah sahabat-sahabat kita yang tidak bernasib baik. Berilah mereka kegembiraan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Berkata Ulama’:
Sedekah itu tidak memiskinkan kamu, tetapi membuka pintu rezeki kamu lebih luas. Maka bersedekahlah.


3. Menuntut Ilmu

Kepada sahabat-sahabat yang terluang masa, saya sarankan anda turun menuntut ilmu. Pergilah berjumpa guru-guru yang bertauliah, belajarlah al-Quran dan sebagainya. Jika terdapat majlis ilmu, maka sertailah.

Sesiapa yang memberi alasan tidak dapat menuntut ilmu, itu  bukan bermakna anda terhalang oleh urusan anda, tetapi Allah s.w.t TIDAK MAHU anda dalam majlis ilmu, naudzubillah!

Di dalam bulan Ramadhan, pasti ada banyak majlis ilmu. Menonton televisyen berunsurkan ilmu juga bermanfaat.


Berpesan Imam Syafie:
Jika kamu tidak merasa keperitan menuntut ilmu, maka rasalah keperitan dalam kebodohan.



4. Berdzikir

Sementara banyak masa yang terluang, maka gunakanlah sebaiknya untuk berdzikir. Dzikir tidak semestinya melafazkan kalimah-kalimah dzikir. Maksud dzikir adalah mengingati Allah s.w.t., maka jika menuntut ilmu mengingatkan anda kepada Allah, tuntutlah ilmu. Jika solat mengingatkan anda kepada Allah, solatlah. Jika melafazkan tasbih dan tahmid mengingatkan anda kepada Allah, lakukanlah.



5. Solat Tarawih

Solat sunat tarawih adalah Sunat Muakkad yang bermaksud amalan yang dituntut  untuk dilaksanakan dan besar pahalanya, di bawah taraf wajib.
Maka kutiplah sebanyak mana pahala yang mungkin, kita tidak pasti Ramadhan hadapan kita dapat sambut ataupun tidak.


6. Qiyammullail

Qiyamullail turut digalakkan. Qiyamullail bermaksud bangun di malam hari untuk melaksanakan solat sunat tahajjud dan ibadat-ibadat sunat. Ini termasuk sunnah baginda Muhammad s.a.w.

Antara amalan pada Qiyamullail adalah solat sunat tahajjud, solat sunat hajat, menghafal al-Quran dan berdzikir serta refleksi diri.


7. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar pada zaman ini tidak semestinya perlu keluar berdakwah. Kita sudah mempunyai laman facebook dan twitter. Gunakan sebaiknya.

Anda boleh sahaja memberikan nasihat dan perkongsian ilmu yang sahih. Elakkan mengeluarkan ilmu ciptaan atau ilmu yang tidak ada asal usul.

Perkongsian al-Quran dan hadis adalah amat ketat syaratnya. Anda perlu tahu sanadnya, dan juga perlu tahu perawinya. Paling baik adalah anda mempunyai kitab al-Quran dan hadis yang benar. Ataupun anda bertanyalah kepada ulama’ ilmu yang ilmunya diakui oleh ulama’-ulama’ lain. Mintalah nasihat daripada ulama’, pasti mereka akan memberikan nasihat yang bermanfaat.

{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar